Laman Utama
Rabu, 13 Disember 2017





Hilang kata laluan?
Belum mendaftar?
Daftar di sini
Lihat Troli
Troli anda kosong.

Pelawat

325368

Maksud | Konsep & Takrif | Kesusasteraan | Citra

KONSEP & TAKRIF

KONSEP UMUM

Tamadun sesuatu bangsa merupakan warisan daya cipta bangsa itu yang dapat dikenali dan dipelajari berdasarkan karya-karya ulung para karyawan, seniman, pemikir, ahli falsafah dan ilmuwan bangsa itu sepanjang sejarahnya. Yang dimaksudkan dengan karya ulung ialah karya yang berjaya meninggalkan kesan seni, ilmu, falsafah dan nilai budaya dan sosial yang kekal dalam kesedaran atau psyche dan ingatan bersama bangsa itu sepanjang sejarahnya. Unsur mutu, nilai ketamadunan dan nilai kemanusiaan semestinya hadir dalam karya seperti itu. Takrif yang asas ini menjadi dasar untuk menghuraikan konsep dan ciri-ciri Karya Agung Melayu atau Dunia Melayu.

TAKRIF "DUNIA MELAYU" 

Dari segi geografi, Dunia Melayu dikatakan meliputi kawasan teras yang kadang-kadang disebut Nusantara atau Gugusan Pulau-pulau Melayu. Takrif yang agak jelas (walaupun masih boleh dibahaskan) ialah berdasarkan bahasa. Bahasa Melayu menjadi lingua franca di kawasan yang disebut “Dunia Melayu” itu sejak lama dahulu. Bahasa Melayu merupakan suatu bahasa yang mampu merentas sempadan geografi dan sempadan etnik yang mentakrif atau mencirikan kawasan yang disebut Dunia Melayu itu. Bahasa Melayu menjadi alat utama yang digunakan sebagai wahana penghasilan karya persuratan yang penting dalam sejarah kawasan ini, kawasan yang terdiri daripada pelbagai bangsa atau kumpulan etnik, pelbagai agama, dan pelbagai bahasa. Istilah “Melayu” yang digunakan untuk menamakan kawasan luas yang disebut “Dunia Melayu” itu tidak merujuk kepada orang Melayu atau bangsa Melayu atau etnik Melayu atau kepada agama tetapi kepada bahasa Melayu, bahasa yang digunakan oleh penduduk pelbagai etnik dan pelbagai agama.

Kawasan induk Dunia Melayu meliputi negara Indonesia, Malaysia, Negara Brunei Darussalam, Singapura dan Patani hari ini, mewarisi sejarah budaya atau sejarah ketamadunan yang sama sejak kedatangan pengaruh asing dari India (lebih dua ribu tahun dahulu), hingga ke zaman pengislaman, dan sampai ke zaman penjajahan Barat pada abad ke-16.

Kesan daripada sejarah budaya atau proses ketamadunan yang panjang, berwarna-warni dan pelbagai aspek ini dapat dilihat dalam corak dan watak kesusasteraan tradisional di seluruh kawasan ini: kesusasteraan yang memperlihatkan kebijaksanaan kolektif penduduk peribumi dan pembina budayanya melakukan proses penerimaan, penyesuaian, dan penolakan budaya sehingga akhirnya tercerna suatu tradisi bersama yang mencirikan “jati diri” tamadun Dunia Melayu.

 
PENAFIAN: Yayasan Karyawan tidak akan bertanggungjawab bagi sebarang kehilangan
dan kerugian yang disebabkan oleh penggunaan maklumat yang diperoleh daripada laman ini.