Laman Utama arrow Katalog Buku arrow Karya Agung Melayu arrow Sulalat u's-Salatin (Koleksi Krusenstern)
Rabu, 22 November 2017





Hilang kata laluan?
Belum mendaftar?
Daftar di sini
Lihat Troli
Troli anda kosong.

Pelawat

323719

Info: Your browser does not accept cookies. If you want to put products into your cart and purchase them you need to enable cookies.

Karya Agung Melayu arrow Sulalat u's-Salatin (Koleksi Krusenstern)<-->



Sulalat u's-Salatin (Koleksi Krusenstern)

Harga: MYR200.00
MYR160.00
Anda jimat: 20.00%


PENERBIT : YAYASAN KARYAWAN

Format & Penjilidan: 

  • Kulit Keras (kulit Aqualin)
  • Saiz: 6"x9"
  • Kertas: Premium Cream Paper 80 gsm
  • Terbit : 2005 (ISBN 978-983-9510-23-2 [hbk]; 892 hlm)
  • Pengarang: Muhamat Tahir al-Jawi & Ibrahim Jamrut
  • Pengkaji: Ahmat Adam
  • Sumber: Koleksi Perpustakaan Institut Manuskrip Oriental, Akademi Sains Rusia, Saint-Petersburg, Rusia.

  • Keunggulan: Sulalat u's-Salatin

  • Hingga ke masa ini banyak sudah dihasilkan tulisan yang menyebut atau membicarakan   tentang karya klasik Melayu Sulalatu's-Salatin atau Sejarah Melayu. Kali pertama nama hikayat Melayu ini disebut berserta dengan nama penulisnya, Bendahara Paduka Raja, ialah dalam tahun 1638 apabila Nuruddin ar-Raniri di dalam karyanya, Bustanu's-Salatin menyatakan bahawa dia telah menggunakan Sejarah Melayu sebagai salah satu sumbernya.  Dalam pada itu, minat yang ditunjukkan oleh pengkaji-pengkaji Eropah terhadap karya ini ternyata sangat luar biasa. Orang pertama yang menyebut tentang kewujudan Sejarah Melayu dalam tahun 1677 ialah seorang sarjana Belanda bernama Petrus van der Vorm yang, lantaran tertarik kepapada isi kandungan naskhah tersebut, telah memberikan sebuah ikhtisarnya di dalam buku kamus Melayu yang berjudul Malaeisch Wordenboeksameling yang terbit di Batavia dalam tahun 1707 - 1708. Sebelum itu, di Betawi, Isaac de Saint Martin (1629 - 1696), seorang yang berpangkat major tatkala berkhidmat kepada Vereenigde Oost Indische Compagnie [Syarikat Hindia Timur Belanda] atau VOC, dan kemudiannya menjadi pengumpul manuskrip Melayu, mungkin telah bertanggungjawab menyenaraikan Sulalatu's-Salatin dalam senarai koleksinya. Pada tahun 1726 Francois Valentijn juga menyebut di dalam senarainya tentang Sulalatu's-Salatin yakni keturunan segala sultan-sultan atau raja-raja yang terbit dalam karyanya Oud en Nieuw Oost Indie. Pada tahun 1736 pula terbit karya Werndley, Maleische Spaakkunst[1] yang juga menyebut tentang Sulalatu's-Salatin..

    Kemudian,  menjelang berakhirnya abad ke delapan belas, iaitu pada tahun 1798, telah timbul minat pada seorang warga negara Rusia yang bernama Krusenstern untuk mendapatkan orang bagi menyalin naskhah Sulalatu's-Salatin yang, mengikut apa yang didengarnya di Melaka, merupakan naskah terulung bangsa Melayu. Tetapi pada abad kesembilan belaslah paling ramai orang Eropah mengambil tahu tentang karya klasik orang Melayu, Sulalatu's-Salatin yang juga, tampaknya, sudah mulai dipopularkan dengan nama Sejarah Melayu. Pada awal abad tersebut, Stamford  Raffles yang telah ditempatkan di Pulau Pinang oleh Syarikat Hindia Timur Inggeris (East India Company) sebagai pembantu sekretarisnya, telah menunjukkan minat terhadap upaya mengumpulkan naskhah-nakhah lama orang Melayu, yang disebutnya  pada zaman itu sebagai kitab Sejarah Melayu. Pada ketika dia berada di Pulau Pinang sejak tahun1805, dan Melaka pada penghujung tahun 1810 sampailah ke pertengahan 1812, Raffles telah mendapatkan orang untuk menyalin naskhah Sulalatu's-Salatin itu.  Usaha dan minat Raffles ini telah merangsang keinginan sahabat karibnya, John Leyden, pada tahun 1807 untuk cuba menterjemahkan apa yang disebutnya sebagai the Malay Annals dengan bantuan seorang jurutulis bahasa Melayu bernama Ibrahim bin Kandu.[2]  Tetapi terjemahan ini hanya terbit dalam tahun 1821 atas usaha Raffles sendiri, iaitu lama selepas kematian Leyden.[3] Selepas itu, Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi pula menyunting  Sulalatu's-Salatin dan mengusahakan penerbitannya dalam huruf Jawi pada tahun 1840 atau 1841,[4] dan diulang cetak pada tahun 1884.  Dalam pada itu, pada tahun  tahun 1849 naskhah Sejarah Melayu yang diterjemahkan oleh M. Eduard Dularier, telah diterbitkan semula dalam Chroniques Malayes setelah dia meninggal dunia. Pada tahun 1878 naskhah ini diterjemahkan pula oleh Marcel Devic ke dalam bahasa Perancis.  Pada tahun 1896 W. G. Shellabear pun menerbitkan naskhah yang disuntingnya yang sampai hari ini merupakan versi naskhah Sejarah Melayu yang paling dikenali ramai.

    Namun, pada abad kedua puluhlah penulisan mengenai Sejarah Melayu kelihatan  rancak dilakukan.  Pada tahun 1925  C. O. Blagden telah menerbitkan "An Unpublished variant Version of the Malay Annals" dalam Journal of the Malayan Branch of the Royal Asiatic Society. Menurut Sir Richard O. Winstedt, versi lain Sejarah Melayu itu merupakan lapan bab terakhir kepada naskhah yang membentuk apa yang dikenali sebagai Naskhah Raffles No. 18.[5]  Sesungguhnya, Winstedt adalah orang yang mula-mula mengambil  berat tehadap usaha untuk mengkaji naskhah ini dan pada tahun 1938 dia telah menerbitkan Sulalat u's-Salatin versi Raffles MS. No. 18  dengan judul "The Malay Annals (Sejarah Melayu)" dalam Journal of the Malayan Branch of the Royal Asiatic Society.[6] Selepas terbitnya karya Windstedt ini maka bermunculanlah beberapa nama pengkaji sejarah dan kesusasteraan orang Melayu; mereka terdiri daripada sarjana  British W. Linehan (1947)[7], F. W. Douglas (1949), C. C. Brown (1953) dan  C. A. Gibson-Hill (1956), dan beberapa orang sarjana Belanda; antara yang terkenal ialah C. Hooykaas (1947), M. G. Emeis (1949), R. Roolvink (1967), P. E. Josselin de Jong (1961, 1964), dan A. Teeuw (1952).

    Pada tahun 1952, telah terbit di Jakarta, edisi Sejarah Melayu oleh T. D. Situmorang dan A. Teeuw yang menggunakan naskhah yang diterbitkan oleh Abdullah Munsyi. Pada tahun 1959 Aman gelar Datuk Majo Indo pula telah menerbitkan dua jilid hikayat Melayu itu dalam huruf Jawi, juga berpandukan naskhah Abdullah Munsyi.   Di Malaysia sendiri, pada tahun 1979 Abdul Samad Ahmad telah menggabungkan tiga versi yang tersimpan di perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka untuk menghasilkan sebuah edisi yang diberi nama  Sulalatu's Salatin (Sejarah Melayu). Pada tahun 1997 dan 1998  Muhammad Haji Salleh dan Abdul Rahman Haji Ismail pun membuat transliterasi ke dalam aksara Rumi naskhah Raffles 18.

    Kira-kira seratus tahun lebih selepas terbitnya naskhah Sejarah Melayu terjemahan John Leyden ke dalam bahasa Inggeris, abad ke-20 turut memperlihatkan naskhah Raffles 18 diselenggarakan  oleh C. C. Brown, seorang pensyarah bahasa Melayu di School of Oriental & African Studies, dengan membuat terjemahan beranotasi ke dalam bahasa Inggeris dan menerbitkannya pada tahun 1953 dalam jilid 25, bahagian 2 dan 3  Journal of the Malayan Branch of the Royal Asiatic Society.   

    Dalam abad ke-21,  pembicara terbaru yang membicarakan naskhah  Sejarah Melayu ialah V. Braginsky  dan Henri Chambert-Loir.  Juga pada abad inilah, iaitu seperti disebutkan di atas tadi,  pada tahun 2008,  naskhah Sulalatu's-Salatin yang disimpan di perpustakaan Akademi Sains Rusia di St. Petersburg telah  diterjemahkan dan disunting dalam bahasa Rusia. Memandangkan bahawa  naskhah ini tidak begitu dikenali oleh ramai orang, maka penulis pun mengambil daya usaha untuk mengalih aksara, dan menyunting naskhah Sejarah Melayu  ini dalam bahasa Melayu, serta memberikan anotasi,  di samping memberikan sebuah Pengenalan. Adalah diharapkan resensi terbaru ini akan memudahkan sedikit pemahaman khalayak pembaca dan membolehkannya mengikuti isi kandungan hikayat Melayu ini dengan lebih jelas.

    Selain membuat perbandingan teks antara naskhah-naskhah utama Sejarah Melayu, pada asasnya penyelenggaraan karya ini telah penulis lakukan dengan menggunakan pendekatan filologi dan etimologi terutamanya dengan memberikan akar kata serta makna bagi perkataan-perkataan tertentu yang jelas berasal daripada bahasa asing seperti bahasa Jawa kuno, Sanskrit dan Parsi yang telah terserap ke dalam bahasa Melayu. Contohnya, sebagai menggantikan perkataan "Bat" yang digunakan oleh semua penyunting naskhah Sejarah Melayu untuk merujuk kepada makhluk yang mengendalikan upacara pertabalan Sang Supraba[8] dan juga istiadat membaca "ciri" dalam upacara pertabalan raja-raja Melayu, kata Bhoṭa [ بط ] telah digunakan. Dalam hal ini penulis menghuraikan makna asal perkataan tersebut yang membawa sebutan asalnya dalam  bahasa Sanskrit.

    Kerja-kerja pengalihan aksara dari huruf Jawi ke Rumi dan penyuntingan yang teliti telah diusahakan secermat mungkin, dan adalah diharapkan karya ini akan dapat membantu bukan sahaja peminat sastera sejarah atau historiografi Melayu, tetapi juga para pengkaji  bahasa Melayu khasnya dari sudut filologinya. Sedapat yang mungkin penulis juga cuba mengekalkan ejaan asal penyalin yang menyalin naskhah ini pada tahun 1798 untuk menunjukkan perubahan dalam pengejaan ataupun penyebutan sesuatu perkataan dengan menandakannya dengan tanda [sic].



    [1]Diterbitkan di Amsterdam oleh penerbit Wetstein.

    [2] Pada tahun 1807 juga terdapat sebuah salinan naskhah Sejarah Melayu yang dibuat oleh Ibrahim Kandu tetapi tidak lengkap, yang mengandungi hanya 16 bab pertama, iaitu sama urutannya seperti yang terdapat di dalam naskhah Shellabear yang terbit dalam tahun 1898. Naskhah ini disalin atas kertas Inggeris berukuran 31sm X 19 sm, yang mencatatkan nama S. Wise & Patch, 1806. Bab terakhirnya mengisahkan perpindahan Sultan Mansur Syah ke istana yang baru. Lihat Raffles  Malay 35 dalam Koleksi Raffles, 1830.

    [3] Leyden meninggal dunia di Betawi pada tahun 1811 kerana mengidap demam malaria  iaitu beberapa hari selepas tentera British mendarat di Cilincing. Lihat Virginia Matheson Hooker dan M.B. Hooker (ed.), John Leyden's Malay Annals, with an Introductory Essay, MBRAS (2001: 11).

    [4] Ibrahim Ismail, 'The Printing of Munshi Abdullah's Edition of the Sejarah Melayu in Singapore', Kekal Abadi 5 (3), September 1986.

    [5] Tentang pendapat Winstedt ini akan dibicarakan secara lebih khusus di bawah nanti.

    [6] Lihat JMBRAS, 1938 (16: 3).

    [7] Lihat karya-karyanya: 'The Sources of the Shellabear Texts of the Malay Annals', dan ' Notes on the Texts of the Malay Annals' kedua-duanya dalam  JMBRAS, 1947 (20:2),

    [8] Penjelasan  mengenai  nama ini dibuat  dalam bahagian Pengenalan  kajian  ini.



 





PENAFIAN: Yayasan Karyawan tidak akan bertanggungjawab bagi sebarang kehilangan
dan kerugian yang disebabkan oleh penggunaan maklumat yang diperoleh daripada laman ini.